Pernah dengar pasal kad jimat minyak? Atau kad jimat elektrik? Itu semua adalah satu dari banyaknya scam serta penipuan yang berlaku dalam negara kita sendiri. Kesemuanya melibatkan faktor wang di mana produk-produk yang tidak benar-benar dibuktikan oleh sains akan keberkesannya, dijual denga harga yang mahal dan langsung tidak berkesan.

Scammer ini akan mensasarkan golongan yang kurang celik terhadap teknologi dan kekurangan peluang untuk menyelidik dan membandingkan fakta dengan auta dari sumber yang boleh dipercayai. Golongan scammer sebegini tidak akan berhenti dari memutar fakta serta memanipulasi masyarakat dengan auta yang jelas bertentangan dengan fakta yang dibuktikan sains. Jika penunggang agama adalah mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri, maka layaklah golongan ini digelar penunggang teknologi.

Contoh selling point yang dinyatakan oleh penjual di Amazon.com

Baru-baru ini, ada golongan scammer yang menjual alat untuk mengurangkan radiasi gelombang dari router Wifi di rumah. Ya, ada yang meletakkan router WiFI di rumah mereka di dalam kurungan Faraday dengan harapan ianya dapat melindungi pengguna dari bahaya radiasi gelombang elektromagnetik dari router WiFi. Okay, jangan kita cepat menghukum. Mari kita fahami dahulu isu ini.

1. Apa itu kurungan Faraday (Faraday Cage)?

Okay, Faraday Cage atau Faraday Shield adalah suatu kurungan atau perisai yang digunakan untuk menghalang medan elektromagnetik. Kurungan ini direka dengan bahan yang konduktif atau mungkin jaringan bahan yang boleh mengalirkan elektrik. Kurungan Faraday dinamakan sempena saintis Inggeris berpengaruh dalam bidang elektromagnetik, Michael Faraday, yang menciptanya pada tahun 1836.

Kurungan Faraday ini boleh digunakan untuk menghalang gangguan elektromagnetik dua hala,iaitu mengurangkan gangguan frekuensi radio dari sumber luar dari mengganggu alatan di dalam kurungan, atau boleh juga mengurangkan gelombang radiasi dari dalam untuk keluar dari kurungan tersebut. Walaubagaimanapun, bergantung kepada bentuk gelombang, frekuensi, kuasa serta jarak dari pemancara/penerima, jumlah yang boleh dihalang juga boleh berubah-ubah.

Contoh perisai Faraday yang digunakan oleh stesen janakuasa di Heimbach, Jerman. Sumber : Wikipedia

Bayangkan seperti lapisan tinted di cermin kereta anda, orang yang di luar tidak dapat melihat anda, anda yang di dalam juga dihadkan penglihatan ke luar. Ini kerana gelombang cahaya itu dimanipulasi dengan menggunakan lapisan khas di cermin anda. Cuma yang ini pula khas untuk gelombang berkaitan elektromagnetik berbanding gelombang cahaya.

Jadi dapat anda bayangkan jika router Wifi di rumah anda diletakkan di dalam ruangan kurungan Faraday seperti ini?

Contoh salah satu perisai Faraday untuk router anda. Sumber : Amazon

Sudah pasti kekuatan isyarat Wifi anda akan lemah kerana kebanyakan gelombang dari isyarat itu dihalang oleh kurungan Faraday ini. Dan peranti anda seperti telefon pintar dan tablet yang menggunakan sambungan WiFi akan terjejas. Kami faham jika penjual atas talian menjual kurungan Faraday atau alat yang semisal denganya untuk mengurangkan gelombang yang dihasilkan oleh peranti anda. Agak munasabah juga jika menjual sarung telefon atau kad untuk menghalang kad RFID atau peranti anda dari dibaca oleh peranti asing. Untuk tujuan keselamatan seperti penghalang isyarat RFID yang dijual di Lazada dan sebagainya. We get it. Walaupun kami agak ragu-ragu akan keberkesanannya, dari segi teori sains, ianya ada sisi logikalnya.

Namun jika ada penjual yang menjual kurungan Faraday dengan andaian yang kekuatan isyarat WiFi tidak terjejas dan hanya untuk menghalang isyarat WiFi yang merbahaya dari keluar dengan alasan boleh membahayakan kesihatan, ini adalah satu sangkaan yang tidak berasas kerana beberapa perkara.

Yang pertama, pelbagai kajian sudah dijalankan mengenai kesan gelombang radiasi yang dihasilkan oleh peranti serta teknologi tanpa wayar disekeliling kita. Dan setakat ini, ianya adalah cukup selamat untuk digunakan manusia. Benar, masih banyak kajian perlu dilakukan, namun setakat ini, tiada bukti kukuh yang mengaitkan penggunaan peranti ini boleh membahayakan pengguna. Jika benar anda risau mengenai risiko kanser, anda patut lebih menjaga pemakanan anda dan elakkan dari terlalu banyak memakan makanan yang bersifat karsinogenik.

Yang kedua, jika anda bertindak dengan menghalang isyarat WiFi dari keluar, ini sudah tentu akan mengganggu capaian rangkaian WiFi rumah anda. Lebih kelakar lagi apabila ada pembeli yang mengadu bahawa isyarat WiFi mereka semakin lemah selepas memasang kurungan Faraday ini pada router mereka dan mahukan wang mereka kembali! Isyarat yang lemah akan membuatkan kelajuan internet anda sangat terhad. Nasihat kami, jika mahu mengelakkan isyarat WiFi dari ‘mengganggu’ hidup anda, tutup sahajalah sumber kuasa untuk router dan modem WiFi anda jika anda tidak menggunakannya. Tak perlu membazir duit untuk membeli alatan yang tidak perlu untuk situasi anda. Mungkin anda juga akan lebih menikmati penjimatan bil bulanan! Jadikan satu tabiat untuk menutup sumber kuasa bagi peranti yang tidak digunakan. Good practice!

Pokok pangkalnya, anda perlu tahu sekurangnya apakah cara penggunaan yang betul bagi teknologi di sekeliling anda. Pengetahuan asa mengenai bagaimana teknologi anda berfungsi akan membantu anda untuk memahami sedikit sebanyak mengenai mitos dan penyalahgunaan yang mungkin berlaku di sekeliling anda. Teknologi mempunyai pelbagai aplikasi yang tidak terhad namun bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya.

Kurungan Faraday digunakan diseluruh dunia untuk menghadkan gangguan bagi peranti sensitif yang mahu dilindungi dari gangguan isyarat dan gelombang dari luar. Tapi penggunaannya sebagai penghalan untuk isyarat WiFi adalah sesuatu yang tidak berasas dan tidak perlu.

Post kali ini bukanlah mahu menghukum namun kami hanya ingin pembaca memahami dan menilai sendiri berdasarkan logik serta fakta. Kami di Kiub.My sentiasa akan berkongsi informasi serta pandangan kami mengenai teknologi di sekeliling kita agar kita lebih memahami, menghargai serta tidak menyalahgunakan teknologi yang ada. Ini semua boleh dielak dengan meneliti dahulu setiap perkara sebelum percaya bulat-bulat pada sesuatu isu tersebut. Tak pasti, jangan kongsi!

Akhir kata dari kami, bacalah dengan tenang, fahamilah dari pelbagai sisi dan hadamlah kebenaran walaupun pahit.

Stay safe, stay informed!

Sumbeer : Wikipedia, TheVerge, CNET, NCBI, HowStuffWorks.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here