Okay, kami pasti bahawa kebanyakan pembaca disini pernah mempunyai kenangan bermain permainan konsol atau sekurangnya pernah mendengar istilah Playstation, Xbox dan Nintendo. Ya, jika anda pernah menggunakannya, tahniah atas kenangan yang nostalgik dan menusuk kalbu itu. Mungkin anda masih ingat kenangan bermain Playstation One bersama rakan dan adik beradik. Namun jika anda tidak pernah mempunyai memori tersebut, mari kami terangkan sedikit sebanyak mengenai memori masa kecil kami.

Apakah itu permainan konsol?

Permainan konsol atau console gaming ini adalah satu istilah yang merujuk kepada satu sistem permainan video yang menggunakan konsol sebagai unit pemprosesan utama dan memerlukan konsol, alat kawalan dan skrin. Mungkin anda sudah mengenali mobile gaming atau permainan mudah alih yang menggunakan telefon pintar sebagai unit pemprosesan dan skrin sentuh telefon itu sendiri sebagai alat kawalan dan medium untuk kita melihat visual permainan. Secara mudah, permainan konsol itu boleh disimpulkan seperti dibawah :

Kita boleh lihat bagaiman sistem permainan konsol ini berfungsi. Sudah tentu, komponen utama adalah konsol permainan itu sendiri. Sebagai contoh, Playstation 4, Xbox One dan Nintendo Switch (Docked Mode). Konsol ini berfungsi sebagai unit pemprosesan utama seperti komputer yang akan memproses segala data dari semua komponen lain dan bertindak sebagai otak bagi kesemua sistem ini.

Bagaimanapun, konsol permainan memerlukan data permainan video yang boleh hadir dalam bentuk digital atau fizikal seperti cakera Bluray. Permainan popular seperti Gears of War bagi Xbox, The Last of Us bagi Playstation dan Legend of Zelda bagi Nintendo Switch akan dimasukkan ke dalam konsol permainan itu untuk diproses dan akan ditayangkan menggunakan monitor atau televisyen kepada pemain.

Komponen seterusnya adalah alat kawalan atau controller yang unik bagi sistem tersebut. Fungsinya sangat mudah iaitu menerima input dari pemain dan menghantarnya kepada konsol untuk diproses dan ditayangkan di monitor. Contohnya, Playstation menggunakan alat kawalan DualShock atau DualSense bagi generasi baru. Nintendo menawarkan alat kawalan Switch Pro bagi konsol Switch mereka. Secara amnya, alat kawalan juga boleh menerima data dari konsol dan menyampaikannya kepada pemain dalam bentuk gegaran atau lampu kelipan. Ini dikenali sebagai feedback atau suapan kembali. Ciri ini meningkatkan lagi tahap keasyikan bermain sesuatu permainan kerana kita merasakan tindakbalas bagi sesuatu input yang kita berikan semasa bermain.

Untuk bermain permainan konsol, anda memerlukan data permainan dalam bentuk digital atau fozikal. Pengeluar permainan konsol terkenal seperti Atlus (siri Persona), Capcom (siri Devil May Cry), Bungie Studio (siri Halo) dan EA (siri FIFA) berlumba-lumba untuk mengeluarkan permainan video bagi setiap konsol bagi setiap generasi.

Kesemua konsol generasi lalu iaitu Xbox One, Playstation 4 dan Nintendo Switch mempunyai kebolehan untuk bersambung dengan internet jadi pemain boleh bermain dengan pemain lain secara atas talian.

Apakah itu Console Wars?

Okay ini hanyalah suatu terma yang digunakan bagi menggambarkan persaingan antara gergasi pengeluar konsol permainan dunia moden seperti Nintendo (Switch), Microsoft (Xbox) dan Sony (Playstation). Mereka sentiasa berusaha untuk menawarkan ciri-ciri yang lebih baik yang diharap dapat menarik perhatian pemain untuk membeli dan menikmati permainan video menggunakan konsol mereka. Dalam setiap generasi, pengeluar konsol akan cuba menawarkan grafik yang lebih baik, cip pemprosesan yang lebih hebat, audio yang lebih mantap, alat kawalan yang lebih unik dan pelbagai lagi aspek yang boleh menarik minat pemain.

Sebagai contoh, semasa generasi Playstation 4, mereka menawarkan konsol Playstation 4 Pro yang mempunyai kekuatan pemprosesan yang lebih baik berbanding konsol Playstation 4 yang biasa. namun, tidak lama selepas itu, Microsoft pula mengeluarkan Xbox One X yang merupakan konsol yang paling powerful untuk generasi mereka. Lain pula bagi Nintendo. Gergasi konsol dari Jepun itu menggunakan pendekatan lain bagi menarik minat pemain dengan menekankan aspek yang unik bagi konsol mereka melalui Nintendo Switch. Walaupun konsol Nintendo Switch tidak mempunyai kekuatan sehebat Xbox dan Playstation, konsol tersebut menawarkan pemain dengan kebolehan untuk bermain di mana sahaja tanpa perlu menggunakan televisyen! Ini kerana konsol Nintendo adalah konsol permainan gabungan (hybrid) diantara konsol permainan dan konsol mudah alih.

Kebolehan untuk bermain secara atas talian juga merupakan faktor yang unik antara setiap konsol generasi ini. Kesemua mereka menawarkan servis langganan bulanan bagi portal permainan atas talian mereka. Kesemua portal ini menawarkan pelbagai permainan percuma setiap bulan bagi pengguna portal atas talian mereka. Xbox menawarkan Xbox Game Pass yang memberikan akses kepada pelbagai permainan percuma seperti Dirt 4 dan Forza Horizon 4. Sony juga menyediakan portal langganan bulanan melalui PS Plus yang turut menawarkan permainan percuma. Namun bagi Nintendo, oleh kerana mereka menghasilkan sendiri banyak judul permainan video, mereka mengambil jalan pendekatan nostalgik dengan menawarkan permainan klasik konsol mereka yang lalu seprti NES dan SNES. Permainan klasik seperti Super Mario pasti menarik minat pemain untuk melanggan portal mereka.

Psst, tahukah anda Google juga sudah mula memasuki dunia permainan video dengan menawarkan permainan video TANPA KONSOL? Anda boleh baca dengan lebih lanjut mengenai GOOGLE STADIA di sini.

Dengan kemajuan teknologi yang kita ada sekarang, pelbagai penyedia permainan video sudah mula bangkit dengan menawarkan pelbagai konsol dan pengalaman yang unik bagi pemain seperti NVIDA Shield dan Google Stadia. Persaingan mantap dari permainan video menggunakan PC juga memberi saingan yang sihat kepada permainan konsol. Permainan mudah alih juga sudah mula menjadi pesaing hebat bagi permainian konsol yang disebabkan penggunaan telefon pintar yang semakin meluas. Jadi boleh disimpulkan disini bahawa permainan video mempunyai masa depan yang cerah dan ini akan menguntungkan kita sebagai pemain permainan video.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here