Mesti anda pernah pura-pura memberikan alat kawalan DualShock pada adik anda DAN tidak menyambungkannya kepada konsol kerana anda tidak mahu dia mengacau permainan anda? Kami juga begitu.

PlayStation DualShock. Satu nama yang gah sebagai alat kawalan utama bagi konsol permainan video sistem PlayStation keluaran Sony. Bagi 4 generasi bermula dengan PlayStation original pada tahun 1997, DualShock generasi pertama diperkenalkan. Pada waktu itu, ciri-ciri dan rekabentuk alat kawalan itu menjadi salah satu aspek yang berjaya menarik perhatian ramai untuk membeli konsol PlayStation.

Tidak dinafikan, Sony berjaya mengeluarkan alat kawalan bagi konsol sensasi pertama mereka yang mempunyai beberapa kelebihan berbanding pesaing waktu itu. Ini sebelum zaman Microsoft tampil ke dalam arena konsol permainan video.

DualShock generasi pertama ini mempunyai dua tombol analog yang diletakkan selesa pada bahagian dalam tapak tangan pemain. Alat kawalan ini juga mempunyai ciri gegaran suap-kembali dan tombol analog yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya, iaitu Dual Analog Controller. Anda boleh memilih sama ada ingin mematikan mod analog dengan menekan butang Analog. Kesemuanya menggunakan jenis sambungan kepada konsol.

Oleh kerana alat kawalan diterima baik berbanding versi lama keluaran Sony, Sony tekad meneruskan DualShock sebagai alat kawalan utama bagi setiap generasi seterusnya berbanding Dual Analog. PlayStation 2 memperkenalkan DualShock generasi 2 atau DualShock 2. Anda masih boleh memilih mod analog dengan menekan butang Analog. Kali ini, Sony menawarkan pelbagai pilihan warna bagi DualShock 2. Walaupun bentuk luaran agak sama, pelbagai penambahbaikan dilakukan seperti tombol analog yang lebih padat, berat keseluruhan yang lebih ringan serta menampilkan butang yang sensitif kepada pelbagai tahap tekanan (pressure sensitive buttons). Konsol PlayStation 2 juga boleh dimainkan menggunakan alat kawalan DualShock asal kerana masih menggunakan format sambungan dan protokol yang sama.

Sebelum memperkenalkan DualShock 3, Sony bermula dengan memperkenalkan Sixaxis, alat kawalan tanpa wayar yang mempunyai sensor pergerakan yang menawarkan dimensi baru bagi konsol permainan video PlayStation 3. Namun, sejurus itu, Sony terus memperkenalkan DualShock 3 yang menawarkan ciri gegaran yang tidak ada pada Sixaxis. Pada generasi ini, alat kawalan benar-benar lebih canggih berbanding generasi sebelumnya. Sambungan tanpa wayar, bateri dalaman, serta pengenalan sensor pergerakan memberikan pemain pengalaman yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

bermula pada generasi konsol PlayStation 4, Sony turut memperkenalkan DualShock generasi 4. Rekaan DualShock 4 sangat berbeza berbanding siri DualShock sebelumnya kerana lebih ergonomik dan menampilkan pad sesentuh (touchpad), jalur LED pelbagai warna, butang ‘Share’ dan ‘Options’. Rekaan butang juga turut ditambahbaik seperti butang trigger L1, L2, R1 serta R2 di bahagian belakang alat kawalan. Ciri dua tona warna juga diperkenalkan serta menampilkan lebih banyak pilihan corak berbanding generasi sebelumnya. DualShock 4 juga memperkenalkan port bagi sambungan terus kepada earphone/headphone serta speaker grill pada alat kawalan tersebut.

Pada tahun 2020, Sony akan tampil dengan konsol generasi baru mereka iaitu PlayStation 5. Sudah tentu, rekaan alat kawalan juga dipertingkatkan namun Sony menukarkan nama DualShock menjadi terma baru, DualSense. DualSense mempunyai 2 tona warna yang kontra dan butang aksi berwarna monokrom berbanding generasi sebelumnya. DualSense juga menukar bar LED ke bahagian sisi pad sesentuh serta memperkenalkan butang ‘Create’ bagi menggantikan butang ‘Share’.

Teknologi dalaman juga dipertingkatkan dengan bateri yang lebih baik, teknologi suapan-balik (feedback) yang lebih mendalam berbanding sebelumnya serta susunan microfon yang dinamik. Butang trigger juga menampilkan ciri suapan-balik adaptif yang memberi feeling yang mendalam di dalam permainan seperti sewaktu menarik anak panah menggunakan busur akan dirasakan sedikit keras berbanding waktu yang lain. Sambungan USB juga dipertingkatkan dengan sambungan USB-C yang lebih baik berbanding USB yang lain.

Jadi dengan segala nostalgia menggunakan DualShock sebelum ini, diharap DualSense ini akan terus memberikan pemain pengalaman yang bermakna serta meninggalkan memori indah yang lebih baik untuk generasi akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here